Oleh
MOHD. ARIF ATAN
Utusan Melayu Online
19/7/2007
BUKANKAH pelancong antarabangsa lebih cenderung memilih destinasi yang menawarkan kelainan dan keunikan tersendiri kebudayaan masyarakatnya?
Adakah promosi pelancongan kita benar-benar menjadikan ciri-ciri kebudayaan dan perayaan kaum Melayu sebagai tumpuan utama dalam promosi pelancongannya di luar negara?
Kempen Tourism Malaysia dengan tema Malaysia Truly Asia seperti sengaja mahu menenggelamkan wajah dan citra kebudayaan kaum Melayu dalam promosi Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07).
Ini kerana risalah promosi TMM’07 yang diletakkan di tempat duduk pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) gagal menonjolkan kebudayaan Melayu sebagai identiti teras dan tarikan utama pelancong ke negara ini.
Paparan melampau budaya dan perayaan kaum-kaum lain kerana mahu menepati konsep Malaysia sebagai wajah Asia sebenar seperti menjadikan Malaysia umpama negara ‘rojak’ tanpa identiti tersendiri di mata pelancong antarabangsa.
Menarik pelancong dari China tidak boleh dijadikan alasan bagi mewajarkan penonjolan kebudayaan yang bukan bersifat kebangsaan untuk tatapan pelancong.
Sepanjang Januari sehingga Mac tahun ini, pelancong dari China hanyalah menduduki tempat kelima dengan 56,903 orang.
Sebaliknya, pelancong dari wilayah serumpun seperti Indonesia dan Brunei jauh lebih ramai mengunjungi Malaysia. Pelancong dari Brunei misalnya yang memiliki kuasa berbelanja lebih tinggi mencecah sehingga 78,625 orang untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja.
Kedatangan pelancong dari China tersebut juga tidak boleh dianggap benar-benar menyumbang kepada pendapatan negara melalui sektor pelancongan. Tidak perlu dinafikan sebahagian daripada mereka terbukti terbabit dalam sindiket jenayah, kongsi gelap, dan paling ketara ialah pelacuran.
Penonjolan kebudayaan etnik lain mengatasi ciri kebudayaan nasional berteraskan Melayu hanya menjadikan pelancong luar keliru dengan keadaan komposisi kaum dan persekitaran budaya sebenar Malaysia.
Mereka yang cenderung mahu mencari destinasi yang menawarkan kelainan dan keunikan yang tiada di tempat lain tentu kecewa melihatkan promosi TMM’07 yang keterlaluan menonjolkan kebudayaan dan perayaan kaum bukan Melayu.
Malah, lebih baik jika mereka terus melancong ke China dan India untuk melihat kebudayaan etnik-etnik tersebut. Tidak mustahil juga ada yang mungkin menganggap Malaysia hanyalah negara transit warga China dan India bekerja dan bercuti di Malaysia sahaja.
Impak promosi pelancongan negara terhadap pembentukan satu bangsa Malaysia juga perlu difikirkan selain kesan terhadap persepsi dan sambutan pelancong luar.
Pluralisme kebudayaan iaitu pengekalan ciri-ciri kebudayaan oleh kumpulan etnik masing-masing akan semakin kuat lantaran terlalu menekankan ciri kebudayaan bukan bersifat pribumi.
Adakah ini perkembangan yang baik dalam usaha mahu mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bertolak ansur menerima kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan nasional?
Jurang
Tidak keterlaluan dikatakan, interaksi kaum dan jurang perpaduan yang semakin melebar kini berpunca daripada kesilapan kita terlalu menonjolkan kepelbagaian budaya yang hanya menguatkan perpaduan dan kebudayaan etnik sahaja.
Oleh itu, sewajarnya ciri-ciri kebudayaan tempatan yang berteraskan Melayu dijadikan elemen utama menarik kedatangan pelancong terutama dari Barat seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Kanada, dan Itali. Masyarakat Barat sememangnya dahagakan ciri kebudayaan dan keistimewaan masyarakat pribumi sesebuah negara.
Namun, akibat kegagalan fokus kita menonjolkan ciri kebudayaan bumiputera, jumlah pelancong dari wilayah-wilayah tersebut masih tidak menunjukkan peningkatan yang benar-benar menggalakkan.
Selain itu, ciri-ciri kebudayaan Melayu yang banyak dicorakkan pengaruh Islam juga selari dengan jiwa pelancong dari Asia Barat yang menyaksikan ketibaan kira-kira 13,545 pelancong dari wilayah tersebut sepanjang Januari hingga Mac tahun ini.
Kempen menarik pelancong luar mestilah mengambil kira faktor kebudayaan dan persekitaran sosial sebenar. Tentulah kelihatan janggal dan tidak adil untuk membiarkan promosi pelancongan mengabaikan perayaan yang disambut orang Melayu.
Sepatutnya, Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan meletakkan kebudayaan dan identiti Melayu sebagai teras utama aset pelancongan negara. Ini kerana penonjolan keterlaluan ciri kebudayaan kaum lain hanya akan menjadikan Malaysia tidak jauh berbeza dengan Singapura.
Perlu ditegaskan, kebudayaan kaum lain di Malaysia hanyalah sebagai nilai tambah yang tidak wajar diperbesar sehingga mengatasi kebudayaan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini.
Tarian joget misalnya yang telah lama diiktiraf sebagai tarian kebangsaan negara ini perlu diketengahkan. Tarian kaum lain misalnya tidak perlu dicampur aduk dalam sesuatu persembahan kesenian bagi tatapan pelancong luar.
Peruntukan sebanyak RM240 juta untuk TMM’07 bagi tujuan promosi pelancongan Malaysia di seluruh dunia tidak adil untuk mengabaikan kebudayaan Melayu ke pentas dunia.
Oleh itu, Ketua Pengarah Tourim Malaysia, Datuk Mirza Mohamad Taiyab seharusnya lebih peka terhadap perkara ini. Matlamat TMM’07 untuk memperoleh pendapatan kira-kira RM44.5 bilion dengan anggaran kedatangan 20.1 juta pelancong adalah bergantung kepada sejauh mana kita benar-benar ikhlas mengetengahkan citra dan kebudayaan nasional sebagai aset pelancongan unik negara.
Pelancong juga tidak harus sekadar dibawa melawat KLCC, Jalan Petaling, restoran mewah dan kompleks beli-belah sahaja.
Promosi pelancongan mesti menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat seluruh pelosok negara. Kunjungan pelancong ke Malaysia tentunya lebih bermakna andainya mereka juga didedahkan dengan persekitaran budaya masyarakat tempatan.
Program menginap di desa atau dikenal sebagai homestay pasti menyimpan kenangan di hati pengunjung luar selain daripada membantu ekonomi masyarakat desa. Keindahan alam semula jadi merangkumi pantai, pulau, dan bukit peranginan pasti menggamit memori pelancong untuk bertamu lagi di Malaysia.
Dalam masa yang sama, peranan bahasa Melayu yang kini dipanggil bahasa Malaysia sebagai salah satu simbol kemegahan rakyat Malaysia tidak wajar diabaikan dalam keghairahan menarik pelancong luar.
0 comments:
Post a Comment