Oleh
Jamal Rizal Razali
Utusan Malaysia Online
19/7/2007
Setakat ini, setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, pengundi Melayu belum lagi mengecewakan kerajaan Barisan Nasional dalam mana-mana pilihan raya, walaupun jumlah keseluruhan sokongan undi Melayu merosot sedikit dalam pilihan raya umum 1999.
Namun, adakah kuasa memerintah akan terus dipegang oleh UMNO atau lebih tepat lagi, orang Melayu pada masa depan? Mungkin tidak ada jawapan yang tepat, namun kita boleh meramalkan sesuatu berdasarkan isu-isu yang berlaku pada hari ini. Ini kerana, biasanya hanya orang Melayu sahaja yang mengundi UMNO, itu pun undi ini terpecah pula kepada tiga parti, iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketiga-tiga parti tidak boleh terlalu bergantung harap kepada kaum lain untuk mengundi parti mereka.
Namun, keadaan sebaliknya mula berlaku apabila kita mula menghadapi kekurangan bekalan pengundi Melayu. Paling menonjol ialah statistik daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebut sejumlah besar warganegara yang layak mengundi masih belum mendaftar bagi membolehkan mereka memberi undi kepada parti politik untuk menjalankan kuasa memerintah dan mentadbir negara.
Terdapat 4.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi berdasarkan undang-undang, masih belum dan tidak mendaftar. Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Rahman, daripada jumlah itu, di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dikesan hampir sejuta rakyat belum mendaftar, manakala di Johor Bahru membabitkan 170,000 individu.
Keadaan ini akan menjadi semakin buruk pada setiap tahun apabila seramai 250,000 pemilih baru layak mengundi dan jika ditambah jumlah mereka yang enggan mendaftar, jumlahnya akan menjadi lebih besar.
Selain itu, statistik rakyat Malaysia yang secara sukarela melucutkan kewarganegaraannya seperti yang diulas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, sepatutnya mendatangkan kebimbangan kepada orang Melayu. Kita boleh membuat pelbagai tafsiran, kajian dan kesimpulan daripada angka-angka tersebut. Satu perkara yang pasti ialah sebagai orang Melayu, kita perlu membuat muhasabah diri dengan lebih konstruktif lagi.
Kira-kira 106,000 orang telah direkodkan secara sukarela melucutkan kewarganegaraan mereka. Seramai 79,199 terdiri daripada kaum Melayu, 25,107 kaum Cina, kaum India pula 1,347 dan 350 terdiri daripada kaum-kaum lain.
Daripada jumlah tersebut 70 peratus adalah orang Melayu, dan dikatakan juga wanita mengatasi lelaki daripada jumlah individu yang menyerahkan atau melucutkan hak kewarganegaraan mereka. Negara baru pilihan mereka ialah Singapura, Amerika Syarikat, Australia dan Indonesia.
Selain hilang undi daripada kumpulan penghijrah itu, ramai pengundi Melayu masih tersadai di pusat-pusat serenti yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Sesetengah ‘pesakit dadah’ Melayu di sana juga adalah pengundi Melayu. Jika jumlah ini diterjemahkan sebagai kuasa undi orang Melayu dalam pilihan raya, ia mungkin menjadi suara atau undi majoriti bagi sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.
Tanggungjawab
Begitu juga dengan anak-anak Melayu yang layak mengundi tetapi ‘merempit’ di jalan-jalan raya berlumba haram. Kebanyakannya terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecacatan kekal. Biasanya mereka tidak lagi mempedulikan soal hak dan tanggungjawab sebagai pengundi, apatah lagi keadaan fizikal sudah tidak mengizinkan untuk bergerak cergas seperti sedia kala.
Selain itu, simptom-simptom tidak peduli akan negara sendiri mula menyebar di kalangan orang Melayu dengan pantas sekali. Mereka tidak peduli lagi dengan peristiwa-peristiwa bersejarah di negara ini. Mereka tidak lagi kenal tokoh atau pejuang tanah air. Mereka tidak dapat mentafsir pengajaran yang boleh diperoleh daripada peristiwa 13 Mei 1969, malah mereka tidak mampu menyebut lima prinsip yang ada dalam Rukun Negara. Keadaan ini memperlihatkan bahawa, mereka tidak mempunyai kepekaan terhadap negara, dan mereka sering mempersoal tanggungjawab dan apa yang perlu negara berikan kepada mereka.
Sikap tidak mahu belajar dan menghayati aspirasi negara juga menjadi pencetus kepada ketidakpedulian ini. Sebagai contoh, sikap tidak mahu memahami dan menghayati semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Kabinet Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang berfokus kepada penyusunan struktur masyarakat Malaysia melalui pembangunan ekonomi serta pendidikan secara menyeluruh tanpa mengira kaum.
Ketidakpedulian ini mungkin juga berlaku akibat penekanan dan penguatkuasaan yang tidak tekal. Maksudnya ialah penekanan dan penerapan yang semakin longgar terhadap nilai-nilai kenegaraan. Kita tidak mahu, anak-anak Melayu cerdas ini kehilangan identiti mereka walaupun sudah berjaya menjawat jawatan besar, tinggal di luar negara, atau menjadi konglomerat bertaraf taikun. Kita mahu mereka ini kekal sebagai anak Melayu yang akan membalas semula jasa negara yang telah memberikan banyak kemudahan kepada mereka.
Isu-isu yang menjurus kepada pengurangan jumlah pengundi Melayu semakin menonjol. Ia juga merupakan petunjuk bahawa satu bala bencana boleh menimpa ketuanan Melayu di negara ini.
Kejadian-kejadian yang menakutkan seperti pelucutan kewarganegaraan secara sukarela, ketidakpedulian akan aspek-aspek kenegaraan dan tabiat buruk tidak mahu mendaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya merupakan ‘batu tanda’ kepada pengurangan daya undi orang Melayu dalam pilihan raya.
Kekurangan undi bermakna kekurangan kerusi, manakala kekurangan kerusi bermakna kekurangan kuasa untuk memerintah negara ini.
* JAMAL RIZAL RAZALI ialah Pengarah Pusat Perkhidmatan Akademik, Universiti Malaysia Pahang, Kuantan.
0 comments:
Post a Comment