Sunday, September 02, 2007

0

Ulul Albab: Lima sebab mazhab Shafie terus bertahan

Oleh Abdurrahman Haqqi

Sifat sederhana sesuai cara hidup masyarakat

LIMA puluh tahun genap sudah kemerdekaan Malaysia. Dalam tempoh itu kemajuan banyak dicapai negara dan dikecapi oleh seluruh rakyat dalam segala bidang, termasuk aspek kehidupan dan keagamaan.

Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) menganjurkan seminar kebangsaan kali kelima mengenai hukum Islam semasa dengan tema penilaian terhadap sejarah, amalan dan prospek fiqh mazhab Shafie di Malaysia, dua minggu lalu.


Siri seminar ini, seingat penulis, pernah dianjurkan kali pertama pada 1995 dan penulis hadir ketika itu sebagai peserta dari Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pada tahun ini, kerana tertarik dengan tema yang dibincangkan, penulis juga mengambil peluang hadir sebagai peserta dari Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddin, Universiti Brunei Darussalam.

Apa yang menarik perhatian penulis daripada seminar dua hari itu ialah istilah dalam keadaan kritikal mazhab Shafie di Malaysia yang dilontarkan Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dalam ucap tama perasmian seminar.

Beliau mengatakan, ringkasnya, mazhab Shafie di Malaysia, malah mazhab lain juga di mana-mana saja yang berkait dengan fikah atau ilmu hukum berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Di Malaysia, paling bernasib baik sekali mazhab ini kerana disokong oleh undang-undang pentadbiran Islam di negeri dan oleh birokrat pentadbiran hal ehwal agama Islam seperti mufti dan pegawai agama yang lain.

Bagaimanapun, pada hakikat sebenarnya sokongan ini tinggal pada namanya saja kerana sudah banyak fatwa dan amalan pentadbiran hal ehwal agama Islam di negara ini sudah mengambil kira pelbagai mazhab yang ada, malah tanpa berasaskan kepada mana-mana mazhab. Lebih daripada itu kadangkala sokongan itu sendiri menjadi bak kata pepatah Melayu sebagai ‘sokong membawa rebah’.

Mazhab Shafie di Malaysia sepanjang sejarahnya mengalami perkembangan yang menakjubkan walaupun ada percubaan yang ingin menghapuskannya. Hal ini dapat diperhatikan dalam tulisan Prof Madya Abdul Halim el-Muhammady: “Hasil daripada pendakwah ini menjadikan Malaysia menerima Islam berasaskan mazhab Shafie dalam fikahnya sama ada dalam ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah yang dapat dikesan dalam kanun negeri-negeri Melayu dan teks pengajian fikahnya serta amalan masyarakat. Mazhab Shafie telah menerima gugatan dalam sejarah melalui tiga gelombang bermula daripada kes perdebatan masalah jilatan anjing pada 1930-an, timbulnya masalah khilafiyyah yang menggugat Parti Islam SeMalaysia (Pas) pada 1950-an.

Gelombang ketiga timbulnya perdebatan masalah khilafiyyah pada masa ini. Ia ditimbulkan oleh kaum muda ketika itu, kemudian oleh sebahagian pelajar keluaran Universiti Madinah atau yang terpengaruh dengan pemikiran Wahabi, tetapi kesannya tidak mengubah pegangan masyarakat Melayu daripada berpegang kepada mazhab Shafie pada peringkat pemerintah dan awam. Persoalan khilafiyyah ini timbul kembali pada masa ini seperti bacaan ‘ussolli’ dalam solat dan talkin jenazah dan sebagainya yang juga ulangan peristiwa yang berlaku sebelum ini, secara umumnya tidak menjejaskan pegangan mazhab Shafie, terutama dalam mengerjakan solat, perkahwinan dan amalan sunat. Cuma ada kelonggaran dalam penerimaan pendapat mazhab lain dalam muamalat kebelakangan ini kerana keperluan pasaran yang banyak mentarjihkan pendapat Hanafi dan kecenderungan sebahagian generasi muda mengikut tafsiran mazhab lain dalam beberapa amalan ibadat dan kerohanian, tapi ia tidak mengubah pegangan rasmi pemerintah dan masyarakat terhadap mazhab Shafie secara umumnya.

Adalah satu fakta yang tidak boleh dimungkiri kecuali oleh orang yang tertutup hatinya bahawa penerimaan umat Islam Asia Tenggara terhadap mazhab Shafie amat jelas sekali. Orang Islam di negara rantau ini hampir seluruhnya berpegang pada mazhab Shafie. Mazhab Shafie amat berpengaruh sehingga ia menjadi mazhab rasmi kerajaan Islam di rantau ini sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Lebih jauh daripada itu undang-undang Islam berasaskan pendapat mazhab ini juga dikanunkan, ia menjadi undang-undang negara dan dilaksanakan.

Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim berpendapat bahawa sebelum kedatangan British, undang-undang Islam adalah undang-undang negara di Malaysia. Mazhab yang diikuti ialah mazhab Shafie.

Selepas kemerdekaan, masih menurut Abdul Halim, Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan. Kebanyakan negeri mengamal mazhab Shafie dalam undang-undang dan fatwa. Hanya Perlis tidak menyatakan mazhab Shafie sebagai rujukan dan asas undang-undang dan fatwa. Bagaimanapun, ia mengiktiraf al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan asas undang-undang yang bertepatan dengan mazhab Shafie. Penerimaan mazhab Shafie tidak menyekat negeri ini di Malaysia untuk mengiktiraf mazhab Sunni yang lain. Sikap toleransi menerima mazhab lain. Penerimaan mazhab Shafie sebagai asas dalam penafsiran dan pelaksanaan undang-undang Islam dari sudut sejarah dapat diterima lebih 600 tahun. Dengan kata lain, kecenderungan di Malaysia adalah menerima satu mazhab seperti dilaksanakan di negara lain. Kecenderungan untuk mengamalkan Islam melalui pemikiran tidak bermazhab kurang mendapat tempat di Malaysia.

Menurut Othman Ishak (1989), pengaruh mazhab Shafie di Malaysia itu adalah menyeluruh khasnya di dalam pentadbiran hukum. Orang awam menerima dasar hukum mazhab Shafie sebagai panduan dalam kehidupan termasuk bidang ibadat, munakahat, muamalat dan jenayah. Pentadbiran kerajaan pula menjadikan doktrin atau dasar hukum mazhab Shafie sebagai keputusan muktamad untuk mengeluarkan fatwa dan digunakan dalam bidang kehakiman di mahkamah syariah. Sekolah dan pusat pengajian Islam memberi keutamaan kepada mazhab Shafie.

Dengan berlakunya kolonialisme dan kebangkitan tamadun Barat lahir gerakan modenisme dan reformisme di alam Melayu bagi menggerakkan kesedaran baru. Gerakan modenisme berusaha membawa arus tamadun barat manakala gerakan reformis berusaha mengharmonikan antara Islam dan Barat. Gerakan reformis juga menumpukan usaha mengislahkan masyarakat Islam dari dalam. Mereka cuba menghapuskan fahaman bidaah dan jumud dalam pemikiran umat Islam dan menanam semangat yang boleh membawa kemajuan umat sama ada di dunia atau akhirat. (Abdul Rahman Abdullah (1998)

Amalan bermazhab Shafie di Malaysia suatu penerusan tradisi yang lama kerana faktor sejarahnya yang tersendiri, termasuk arus idealisme tajdid fikah di seluruh dunia Islam.

Kedudukan mazhab Shafie dalam bentuk pengamalan di Malaysia sama ada oleh individu atau pemerintah sekarang dilihat sudah tidak syarie kerana dianggap bertaklid buta yang dikeji dan fanatik kepada mazhab semata-mata.

Hasilnya lahir golongan yang menolak mazhab (la mazhabiyyah) yang meruntuhkan kekayaan fikah, malah meruntuhkan manhaj hukum yang dibina oleh fuqaha terdahulu.

Dari sudut yang lain pula ada usaha untuk mempertahankan tradisi yang ada dengan membawa perubahan yang perlu dalam kerangka prinsip bermazhab atau pengekalan manhaj Shafie, tetapi dengan interpretasi semasa turut mengambil kira perubahan budaya dan uruf, seperti dalam tulisan Dr Luqman Abdullah.

Selain itu, Jakim menerima pakai cadangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam agar penyebaran fahaman selain mazhab Shafie dikawal bagi tujuan membendung fahaman yang boleh mengelirukan masyarakat yang tidak terdedah dengan perbezaan mazhab. Cadangan ini diperkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-133 (khas) pada 3 Disember 1984.

Akhirnya, seperti dikatakan Prof Mahmood Zuhdi, mazhab Shafie mempunyai masa depan yang cukup terjamin di negara ini. Pertama, kerana sejarahnya yang begitu cemerlang. Kedua, kerana ia diterima akar umbi masyarakat dan menjadi sebahagian budaya mereka. Ketiga, sifatnya yang sederhana dan sesuai dengan corak hidup masyarakat rantau ini. Keempat, kerana sokongan undang-undang. Kelima, kerana ada barisan pendokong yang terus menguasai birokrasi.

Namun tanpa pembaharuan ia tidak boleh bertahan dengan selesa. Pertama kerana yang diamalkan sekarang mewakili rumusan zaman dan budaya hidup yang berbeza daripada apa yang ada di sini sekarang. Kedua, kerana yang dimaksudkan ialah hasil ijtihad zaman lampau dan bukannya kaedah ijtihad, atau dalam bahasa yang digunakan oleh al-Qaradhawi, hasil tangkapannya dan buka jaring atau jalannya. Ketiganya, kerana perubahan keadaan yang terlalu pesat. Keempat, kerana fikah berkenaan mula menampilkan dirinya dalam urusan yang lebih rumit daripada apa yang ada pada masa lampau.

Cara paling baik ialah memperbaharui fikah ini berasaskan kaedah al-Shafie dengan mengambil kira realiti setempat setakat dibenarkan qiyas seperti yang sentiasa ditegaskan Imam Shafi’i. Wallahu a’lam.

INFO: Dalam perkembangan pengukuhan mazhab Shafie di Malaysia, Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan memutuskan beberapa ketetapan termasuk;

1 Semua fatwa yang diputuskan mestilah berdasarkan kepada qawl yang muktabar dalam mazhab Shafie. Jika hendak beramal dengan qawl daripada mazhab lain, mereka perlu mendapat restu Yang di-Pertuan Agong.

2 Umat Islam tidak dipaksa beramal dengan mazhab Shafie bahkan boleh beramal dengan mana-mana mazhab lain yang disukai dengan syarat mereka tidak boleh menyalahkan orang yang beramal dengan mazhab Shafie.

3 Mazhab lain tidak boleh diajar atau disyarah secara terbuka di khalayak ramai namun boleh diajar pada majlis pelajaran.

4Menjadi satu kesalahan jika mengajar mazhab lain selain mazhab Shafie secara terbuka.

5 Jika fatwa dikeluarkan berasaskan kepada mazhab Shafie, maka tiada sesiapa pun boleh membantahnya dengan menggunakan hujah daripada mazhab yang lain.

0

Di Luar Lingkaran: Surat terbuka kepada orang Melayu

Bersama Johan Jaaffar (zulujj@tm.net.my)

Selepas 50 tahun bebas daripada penjajah di mana kedudukan kita

WAHAI bangsaku, lima puluh tahun sudah usia kemerdekaan tanah air kita. Waktu yang sebenarnya amat singkat dalam sejarah pembinaan negara bangsa. Namun demikian terlalu banyak yang boleh dilakukan dalam masa lima dekad jika kita bertekad sama dan sekiranya kita sederap dan selangkah untuk menentukan penanda aras kecemerlangan baru. Bak kata orang hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Kita tidak harus lupa bahawa 50 tahun kebelakangan ini hanyalah sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu yang panjang dan penuh peristiwa. Tanyakan kepada yang dianggap pakar, masing-masing mempunyai cerita dan tafsiran mengenai sejarah bangsa Melayu.
Mungkin usia bangsa Melayu ribuan tahun, mungkin juga ratusan tahun.


Mungkin sejarah sebenar bermula daripada Kerajaan Melayu Melaka, mungkin lebih awal. Bagaimanapun, satu hal dipersetujui bersama bahawa dengan tumbangnya Empayar Melaka pada 1511, maka orang Melayu berada dalam belenggu penjajahan selama 446 tahun.

Memang mudah menyalahkan penjajah kerana kelemahan bangsa Melayu. Mungkin benar merekalah yang mendefinisikan ‘kemelayuan’ kita selama empat setengah abad itu. Mungkin tidak adil jikalau mereka sewenang-wenangnya melabelkan kita sebagai peribumi yang malas. Atau menganggap kita tidak setekun dan serajin bangsa lain. Atau mungkin benar psyche, nilai dan minda Melayu banyak terbentuk oleh kongkongan penjajahan itu.

Bagaimanapun, kita sudah merdeka sebelum 1511. Kita sudah membina empayar. Kita sudah membina tamadun. Kita mempunyai tradisi ilmu yang tinggi. Kita melahirkan buku-buku ilmu dan karya sastera yang besar.

Tradisi kesarjanaan di kalangan orang Melayu sentiasa mendapat naungan istana. Kebudayaan dan kesenian tinggi terbina daripada kalangan pemikir, ilmuwan dan pujangga. Malah, di tengah masyarakat Melayu desa yang bergantung pada sistem pertanian tradisi, sudah wujud kebijaksanaan, kepandaian dan pengetahuan mengenai alam, kosmologi dan asas sains. Itu belum lagi kehebatan karya sastera dalam bentuk lisan dengan segala macam kisah dan teladan serta peribahasa, pantun, gurindam dan bidalan.

Orang Melayu tidak membentuk citra mereka dengan hanya turunnya bendera Union Jack secara simbolik pada malam 31 Ogos 1957. Sejarah orang Melayu tidak bermula dari situ. Bagaimanapun, tarikh keramat itu menandakan satu lagi episod sejarah pembinaan bangsa Melayu. Kali ini bagi mengisi kemerdekaan dengan kesediaan untuk hidup dan membangun sebagai negara bangsa dengan kaum lain.

Bangsa Melayu tidak pandir dan bebal. Bangsa Melayu tidak menjadi cerdik dan terbuka hanya dengan terbinanya sekolah selepas Merdeka.

Sejak 1876 lagi apabila akhbar Melayu yang pertama muncul, orang Melayu sudah mula menggunakan akhbar untuk memperjuangkan nasib bangsa mereka. Malah, reformasi pemikiran agama secara menyeluruh bermula dengan debat cerdik melalui penerbitan seperti Al Imam dan pemikir seperti Syed Syeikh Al Hadi. Kesedaran kebangsaan di kalangan orang Melayu bermula dengan akhbar dan majalah Melayu seperti Utusan Melayu Majlis, Majalah Guru, Lembaga Malaya, dan Idaran Zaman.

Memang benar orang Melayu berada pada paras kemiskinan yang luar biasa apabila Tanah Melayu merdeka. Dan memang benar sistem hidup kebanyakan orang Melayu ketika zaman penjajahan menjauhkan mereka daripada pendidikan, perubahan dan permodenan. Memang kemerdekaan menjanjikan sesuatu yang baru pada orang Melayu.

Cuma malangnya tiada padang yang sama rata untuk mereka. Lalu mereka terasing daripada arus perdana kegiatan ekonomi. Apabila kegiatan ekonomi dicorakkan oleh ras, maka kesannya pasti buruk bagi sebuah negara pelbagai kaum.

Orang Melayu sentiasa bersedia membuat penyesuaian. Mereka mudah menerima apa saja. Dengan hanya satu tandatangan, ratusan ribu kaum lain secara automatik menjadi rakyat negara ini. Orang Melayu bersedia berkongsi kuasa. Orang Melayu bersedia menghormati kontrak sosial. Orang Melayu sentiasa berlebih kurang. Cuma sayangnya selalu mendapat kurang apabila yang lebihnya orang lain.

Orang Melayu punya jumlah. Orang Melayu punya kuasa politik. Orang Melayu berada pada hampir semua kedudukan strategik dalam pemerintahan negara. Malangnya dalam keadaan sedemikian, masih terdengar rintihan dan keluhan serta nada kekecewaan. Kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu, dengan sebahagian besar pentadbir awamnya Melayu, dan dasar yang jelas pro-Melayu nampaknya tidak cukup untuk membantu orang Melayu. Dengan terlaksananya Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga berakhirnya dasar itu, sasaran DEB masih jauh daripada memuaskan.

Lalu kita mulalah mencari salah. Mencari punca kegagalan. Lalu menuding jari mencari angkara siapa. Dan seperti selalu kita menuntut lagi agar dasar itu diteruskan. Lima puluh tahun dari sekarang pun mungkin kita akan meminta lagi. Dan lagi.

Nampaknya kita harus terus hidup dengan payung perlindungan. Kita masih memerlukan tongkat. Dan kita akan terus mencari alasan bahawa padang tidak selalu rata. Dan orang lain sudah berlari sedangkan kita baru belajar berdiri.

Mungkin salahnya kita juga. Kita tidak berusaha menganjak pada peringkat yang lebih tinggi.
Mungkin juga kerana kita mudah berpuas hati dengan pencapaian kita selama ini. Atau kita suka mengukur kejayaan daripada apa yang ada pada kita satu masa dulu dan bukan dengan apa yang dicapai oleh orang lain pada masa ini.

Mungkin juga kita tidak mempersiapkan diri kita dengan ilmu, ketrampilan dan tekad. Tenaga yang ada pada kita habis pada soal tetek bengik, pada hal cabang dan batil. Hal besar kita lupakan.

Orang Melayu selalunya liat menerima teknologi. Orang sudah menggapai dunia siber, anak-anak kita tertinggal jauh ke belakang. Kita lebih suka menghabiskan wang untuk hal-hal lain daripada melengkapkan keperluan asas untuk membina kepakaran anak-anak kita bagi menghadapi cabaran masa depan. Di kawasan penempatan baru orang Melayu misalnya, kita lebih utamakan briged menangkap orang berkhalwat daripada memastikan bahawa anak-anak kita disiapkan perpustakaan mini yang baik dan pusat komputer yang sempurna.

Politik sepatutnya menyatukan orang Melayu, tapi politik yang ditunjang oleh kepentingan peribadi dan kerakusan lebih banyak merosakkan. Agama sepatutnya menyatukan kita, tetapi agama juga dipolitikkan. Dan agama juga menjadi alasan untuk kita meminggirkan orang lain dan membina kepompong kita sendiri. Kita menjadi tidak lagi toleran terhadap orang lain. Kita mulai memberikan definisi ‘Mereka’ dan ‘Kita’.

Agama Islam tidak pernah mengajar umatnya memenjarakan diri dalam kejumudan dan kekecilan. Seperti kata Perdana Menteri, kita sebenarnya mengkhianati Islam jika memilih untuk menolak kemajuan, taksub dengan konflik dan hidup dalam kejahilan.

Terlalu mudah mencari kelemahan di kalangan bangsa kita. Ada yang mengatakan kita kurang berpaksi pada agama. Ada yang mengatakan kita bangsa yang baru membina tamadun. Ada yang mengatakan memang sebenarnya orang Melayu tidak sehebat bangsa lain. Malah, ada yang mengatakan apa saja yang labelnya Melayu, maka pasti lemah dan mundur. Maka itu apa saja yang namanya Melayu harus ditolak dan diketepikan – termasuk budaya dan bahasa. Malah, sudah ada yang menganggap malang sekali mereka lahir sebagai Melayu.

Demikianlah, bangsa kita yang kecil ini dicorakkan oleh pelbagai kekeliruan daripada bangsa kita sendiri. Kita mahu menjadikan bangsa kita berjiwa besar, berfikiran terbuka, mampu bersaing, berminda kelas pertama dan bersedia menghadapi cabaran globalisasi. Bukanlah itu impian kita bersama, untuk meletakkan bangsa kita pada tahap yang lebih tinggi?

Moga-moga kemerdekaan tanah air yang ke-50 ini dapat mengajak kita untuk membuat penilaian diri. Bangsa Melayu boleh hilang di dunia. Kuasa Melayu boleh luput dalam sekelip mata. Orang Melayu boleh menjadi bangsa yang terpinggir daripada arus perubahan negaranya. Apa yang kita miliki tidak kekal.

Orang Melayu hanya ada satu sebab untuk bersatu – survival. Orang lain mempunyai strategi yang kemas dan ampuh sekalipun mereka golongan minoriti. Sayangnya orang Melayu yang juga kaum majoriti di negaranya sendiri berlagak dan bermindakan kelompok minoriti. Atas alasan itulah perayaan 50 tahun kemerdekaan ini seharusnya menjadi titik tolak penting bagi orang Melayu menanyakan “ke manakah kita selepas ini?”
Alahai bangsaku.

Monday, August 06, 2007

0

FIRST MALAYSIAN STUDENT LEADERS SUMMIT 2007: Raja Nazrin speaks his mind...

"FIFTY years of the national relay race has been run and we have covered a good distance and achieved much.

However, every coin has two sides.

Let us not be naive in thinking it is all a rosy picture. There is still much room for improvement.

Interaction between the ethnic groups, to the extent that it exists, remains more of an urban phenomenon. In recent years, ethnic identities appear to have become more explicit. In some instances, what divides us has become more emphasised than what unites us.

Moreover, the impasse at the global level between Islam and non-Islam affects even a moderate country like Malaysia.

Matters of faith are topics of immense controversy. They provoke overzealousness and coercive action, and drive Malaysians further and further away from each other.

Our diversity was meant to be our unique asset. The Federal Constitution and the Rukun Negara institutionalised living together in peaceful, harmonious co-existence.

YET, 50 YEARS AFTER MERDEKA, WE ARE STILL GRAPPLING WITH CONCERNS ABOUT UNITY.

It is also very important we have leaders who are earnest in maintaining unity, never resorting to religious or ethnic posturing to further their political careers at the expense of peace and security. If they fail, they must be held accountable and made answerable before the law.

Malaysia needs a future generation of leaders with unquestionable integrity. Only those who are capable, responsible and scrupulously honest should be allowed to serve in positions of leadership. Those who are inefficient, incompetent and, most importantly, corrupt, should be held in absolute contempt.

The current phase of nation-building should be in tune with the temper of the times to reflect new realities of the modern world. We are facing a globalised environment where excellence and meritocracy are the rules of the game. The opportunities in the global world reward those with ability, regardless of colour or creed.

A multi-ethnic country like Malaysia has to be especially watchful since, in the absence of a strong national identity, we are prone to polarisation and competition along ethno-religious lines.

The Constitution is the supreme law of the country which guarantees fundamental liberties to every citizen. A cleverly crafted document, it clearly provides for adequate checks and balances against excesses through the separation of powers between the executive, legislative and judicial branches — with each protected from encroachment by the other.

It has often been said that many a misunderstanding may be avoided if the principles embodied in the Constitution are adhered to strictly.

Upholding the rule of law is paramount.

In this connection, I can do no better than to quote the words of Baroness Helena Kennedy QC, a leading jurist: ‘Law is the bedrock of a nation; it tells us who we are, what we value. It regulates our human relationships one to the other and our relationships as citizens with the state... The rule of law is one of the tools we use in our stumbling progress towards civilising the human condition: A structure of law, with proper methods and independent judges, before whom even a government must be answerable... WE HAVE TO STAND UP AND BE COUNTED. WE HAVE TO PROTECT THE THINGS THAT MAKE OUR NATIONS GREAT..."

Friday, July 20, 2007

0

Mencari identiti budaya

Oleh
MOHD. ARIF ATAN
Utusan Melayu Online
19/7/2007

BUKANKAH pelancong antarabangsa lebih cenderung memilih destinasi yang menawarkan kelainan dan keunikan tersendiri kebudayaan masyarakatnya?

Adakah promosi pelancongan kita benar-benar menjadikan ciri-ciri kebudayaan dan perayaan kaum Melayu sebagai tumpuan utama dalam promosi pelancongannya di luar negara?

Kempen Tourism Malaysia dengan tema Malaysia Truly Asia seperti sengaja mahu menenggelamkan wajah dan citra kebudayaan kaum Melayu dalam promosi Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07).

Ini kerana risalah promosi TMM’07 yang diletakkan di tempat duduk pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) gagal menonjolkan kebudayaan Melayu sebagai identiti teras dan tarikan utama pelancong ke negara ini.

Paparan melampau budaya dan perayaan kaum-kaum lain kerana mahu menepati konsep Malaysia sebagai wajah Asia sebenar seperti menjadikan Malaysia umpama negara ‘rojak’ tanpa identiti tersendiri di mata pelancong antarabangsa.

Menarik pelancong dari China tidak boleh dijadikan alasan bagi mewajarkan penonjolan kebudayaan yang bukan bersifat kebangsaan untuk tatapan pelancong.

Sepanjang Januari sehingga Mac tahun ini, pelancong dari China hanyalah menduduki tempat kelima dengan 56,903 orang.

Sebaliknya, pelancong dari wilayah serumpun seperti Indonesia dan Brunei jauh lebih ramai mengunjungi Malaysia. Pelancong dari Brunei misalnya yang memiliki kuasa berbelanja lebih tinggi mencecah sehingga 78,625 orang untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja.

Kedatangan pelancong dari China tersebut juga tidak boleh dianggap benar-benar menyumbang kepada pendapatan negara melalui sektor pelancongan. Tidak perlu dinafikan sebahagian daripada mereka terbukti terbabit dalam sindiket jenayah, kongsi gelap, dan paling ketara ialah pelacuran.

Penonjolan kebudayaan etnik lain mengatasi ciri kebudayaan nasional berteraskan Melayu hanya menjadikan pelancong luar keliru dengan keadaan komposisi kaum dan persekitaran budaya sebenar Malaysia.

Mereka yang cenderung mahu mencari destinasi yang menawarkan kelainan dan keunikan yang tiada di tempat lain tentu kecewa melihatkan promosi TMM’07 yang keterlaluan menonjolkan kebudayaan dan perayaan kaum bukan Melayu.

Malah, lebih baik jika mereka terus melancong ke China dan India untuk melihat kebudayaan etnik-etnik tersebut. Tidak mustahil juga ada yang mungkin menganggap Malaysia hanyalah negara transit warga China dan India bekerja dan bercuti di Malaysia sahaja.

Impak promosi pelancongan negara terhadap pembentukan satu bangsa Malaysia juga perlu difikirkan selain kesan terhadap persepsi dan sambutan pelancong luar.

Pluralisme kebudayaan iaitu pengekalan ciri-ciri kebudayaan oleh kumpulan etnik masing-masing akan semakin kuat lantaran terlalu menekankan ciri kebudayaan bukan bersifat pribumi.

Adakah ini perkembangan yang baik dalam usaha mahu mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bertolak ansur menerima kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan nasional?

Jurang

Tidak keterlaluan dikatakan, interaksi kaum dan jurang perpaduan yang semakin melebar kini berpunca daripada kesilapan kita terlalu menonjolkan kepelbagaian budaya yang hanya menguatkan perpaduan dan kebudayaan etnik sahaja.

Oleh itu, sewajarnya ciri-ciri kebudayaan tempatan yang berteraskan Melayu dijadikan elemen utama menarik kedatangan pelancong terutama dari Barat seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Kanada, dan Itali. Masyarakat Barat sememangnya dahagakan ciri kebudayaan dan keistimewaan masyarakat pribumi sesebuah negara.

Namun, akibat kegagalan fokus kita menonjolkan ciri kebudayaan bumiputera, jumlah pelancong dari wilayah-wilayah tersebut masih tidak menunjukkan peningkatan yang benar-benar menggalakkan.

Selain itu, ciri-ciri kebudayaan Melayu yang banyak dicorakkan pengaruh Islam juga selari dengan jiwa pelancong dari Asia Barat yang menyaksikan ketibaan kira-kira 13,545 pelancong dari wilayah tersebut sepanjang Januari hingga Mac tahun ini.

Kempen menarik pelancong luar mestilah mengambil kira faktor kebudayaan dan persekitaran sosial sebenar. Tentulah kelihatan janggal dan tidak adil untuk membiarkan promosi pelancongan mengabaikan perayaan yang disambut orang Melayu.

Sepatutnya, Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan meletakkan kebudayaan dan identiti Melayu sebagai teras utama aset pelancongan negara. Ini kerana penonjolan keterlaluan ciri kebudayaan kaum lain hanya akan menjadikan Malaysia tidak jauh berbeza dengan Singapura.

Perlu ditegaskan, kebudayaan kaum lain di Malaysia hanyalah sebagai nilai tambah yang tidak wajar diperbesar sehingga mengatasi kebudayaan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini.

Tarian joget misalnya yang telah lama diiktiraf sebagai tarian kebangsaan negara ini perlu diketengahkan. Tarian kaum lain misalnya tidak perlu dicampur aduk dalam sesuatu persembahan kesenian bagi tatapan pelancong luar.

Peruntukan sebanyak RM240 juta untuk TMM’07 bagi tujuan promosi pelancongan Malaysia di seluruh dunia tidak adil untuk mengabaikan kebudayaan Melayu ke pentas dunia.

Oleh itu, Ketua Pengarah Tourim Malaysia, Datuk Mirza Mohamad Taiyab seharusnya lebih peka terhadap perkara ini. Matlamat TMM’07 untuk memperoleh pendapatan kira-kira RM44.5 bilion dengan anggaran kedatangan 20.1 juta pelancong adalah bergantung kepada sejauh mana kita benar-benar ikhlas mengetengahkan citra dan kebudayaan nasional sebagai aset pelancongan unik negara.

Pelancong juga tidak harus sekadar dibawa melawat KLCC, Jalan Petaling, restoran mewah dan kompleks beli-belah sahaja.

Promosi pelancongan mesti menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat seluruh pelosok negara. Kunjungan pelancong ke Malaysia tentunya lebih bermakna andainya mereka juga didedahkan dengan persekitaran budaya masyarakat tempatan.

Program menginap di desa atau dikenal sebagai homestay pasti menyimpan kenangan di hati pengunjung luar selain daripada membantu ekonomi masyarakat desa. Keindahan alam semula jadi merangkumi pantai, pulau, dan bukit peranginan pasti menggamit memori pelancong untuk bertamu lagi di Malaysia.

Dalam masa yang sama, peranan bahasa Melayu yang kini dipanggil bahasa Malaysia sebagai salah satu simbol kemegahan rakyat Malaysia tidak wajar diabaikan dalam keghairahan menarik pelancong luar.

0

Ketidakpedulian Melayu

Oleh
Jamal Rizal Razali
Utusan Malaysia Online
19/7/2007

Setakat ini, setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, pengundi Melayu belum lagi mengecewakan kerajaan Barisan Nasional dalam mana-mana pilihan raya, walaupun jumlah keseluruhan sokongan undi Melayu merosot sedikit dalam pilihan raya umum 1999.

Namun, adakah kuasa memerintah akan terus dipegang oleh UMNO atau lebih tepat lagi, orang Melayu pada masa depan? Mungkin tidak ada jawapan yang tepat, namun kita boleh meramalkan sesuatu berdasarkan isu-isu yang berlaku pada hari ini. Ini kerana, biasanya hanya orang Melayu sahaja yang mengundi UMNO, itu pun undi ini terpecah pula kepada tiga parti, iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketiga-tiga parti tidak boleh terlalu bergantung harap kepada kaum lain untuk mengundi parti mereka.

Namun, keadaan sebaliknya mula berlaku apabila kita mula menghadapi kekurangan bekalan pengundi Melayu. Paling menonjol ialah statistik daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebut sejumlah besar warganegara yang layak mengundi masih belum mendaftar bagi membolehkan mereka memberi undi kepada parti politik untuk menjalankan kuasa memerintah dan mentadbir negara.

Terdapat 4.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi berdasarkan undang-undang, masih belum dan tidak mendaftar. Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Rahman, daripada jumlah itu, di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dikesan hampir sejuta rakyat belum mendaftar, manakala di Johor Bahru membabitkan 170,000 individu.

Keadaan ini akan menjadi semakin buruk pada setiap tahun apabila seramai 250,000 pemilih baru layak mengundi dan jika ditambah jumlah mereka yang enggan mendaftar, jumlahnya akan menjadi lebih besar.

Selain itu, statistik rakyat Malaysia yang secara sukarela melucutkan kewarganegaraannya seperti yang diulas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, sepatutnya mendatangkan kebimbangan kepada orang Melayu. Kita boleh membuat pelbagai tafsiran, kajian dan kesimpulan daripada angka-angka tersebut. Satu perkara yang pasti ialah sebagai orang Melayu, kita perlu membuat muhasabah diri dengan lebih konstruktif lagi.

Kira-kira 106,000 orang telah direkodkan secara sukarela melucutkan kewarganegaraan mereka. Seramai 79,199 terdiri daripada kaum Melayu, 25,107 kaum Cina, kaum India pula 1,347 dan 350 terdiri daripada kaum-kaum lain.

Daripada jumlah tersebut 70 peratus adalah orang Melayu, dan dikatakan juga wanita mengatasi lelaki daripada jumlah individu yang menyerahkan atau melucutkan hak kewarganegaraan mereka. Negara baru pilihan mereka ialah Singapura, Amerika Syarikat, Australia dan Indonesia.

Selain hilang undi daripada kumpulan penghijrah itu, ramai pengundi Melayu masih tersadai di pusat-pusat serenti yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Sesetengah ‘pesakit dadah’ Melayu di sana juga adalah pengundi Melayu. Jika jumlah ini diterjemahkan sebagai kuasa undi orang Melayu dalam pilihan raya, ia mungkin menjadi suara atau undi majoriti bagi sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Tanggungjawab

Begitu juga dengan anak-anak Melayu yang layak mengundi tetapi ‘merempit’ di jalan-jalan raya berlumba haram. Kebanyakannya terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecacatan kekal. Biasanya mereka tidak lagi mempedulikan soal hak dan tanggungjawab sebagai pengundi, apatah lagi keadaan fizikal sudah tidak mengizinkan untuk bergerak cergas seperti sedia kala.

Selain itu, simptom-simptom tidak peduli akan negara sendiri mula menyebar di kalangan orang Melayu dengan pantas sekali. Mereka tidak peduli lagi dengan peristiwa-peristiwa bersejarah di negara ini. Mereka tidak lagi kenal tokoh atau pejuang tanah air. Mereka tidak dapat mentafsir pengajaran yang boleh diperoleh daripada peristiwa 13 Mei 1969, malah mereka tidak mampu menyebut lima prinsip yang ada dalam Rukun Negara. Keadaan ini memperlihatkan bahawa, mereka tidak mempunyai kepekaan terhadap negara, dan mereka sering mempersoal tanggungjawab dan apa yang perlu negara berikan kepada mereka.

Sikap tidak mahu belajar dan menghayati aspirasi negara juga menjadi pencetus kepada ketidakpedulian ini. Sebagai contoh, sikap tidak mahu memahami dan menghayati semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Kabinet Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang berfokus kepada penyusunan struktur masyarakat Malaysia melalui pembangunan ekonomi serta pendidikan secara menyeluruh tanpa mengira kaum.

Ketidakpedulian ini mungkin juga berlaku akibat penekanan dan penguatkuasaan yang tidak tekal. Maksudnya ialah penekanan dan penerapan yang semakin longgar terhadap nilai-nilai kenegaraan. Kita tidak mahu, anak-anak Melayu cerdas ini kehilangan identiti mereka walaupun sudah berjaya menjawat jawatan besar, tinggal di luar negara, atau menjadi konglomerat bertaraf taikun. Kita mahu mereka ini kekal sebagai anak Melayu yang akan membalas semula jasa negara yang telah memberikan banyak kemudahan kepada mereka.

Isu-isu yang menjurus kepada pengurangan jumlah pengundi Melayu semakin menonjol. Ia juga merupakan petunjuk bahawa satu bala bencana boleh menimpa ketuanan Melayu di negara ini.

Kejadian-kejadian yang menakutkan seperti pelucutan kewarganegaraan secara sukarela, ketidakpedulian akan aspek-aspek kenegaraan dan tabiat buruk tidak mahu mendaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya merupakan ‘batu tanda’ kepada pengurangan daya undi orang Melayu dalam pilihan raya.

Kekurangan undi bermakna kekurangan kerusi, manakala kekurangan kerusi bermakna kekurangan kuasa untuk memerintah negara ini.

* JAMAL RIZAL RAZALI ialah Pengarah Pusat Perkhidmatan Akademik, Universiti Malaysia Pahang, Kuantan.